Satu catatan pengalaman si Aspergillus hijau


Satu catatan pengalaman si Aspergillus hijau
 
Pagi itu agak lembap kerana malamnya hujan turun agak lebat dan lama. Si kumpulan monyet telah melakukan sorakan pagi mereka seperti biasa. Tanah sekelilingku tiba-tiba bergegar-gegar. Tak lama kemudian terdengar derapan kasut menghampiri tempatku. Terdengar suara manusia berkata “Kita boleh ambil tanah di sini, ini sampel untuk kawasan tinggi. Jangan lupa ambil gambar”. Kawanan manusia itupun berhenti. Beberapa orang mengeluarkan peralatan mereka. Manakala yang lain menunggu kawan mereka melakukan tugasan yang diminta. Seorang dari mereka berkata, “Jom ambik gambar”. Sepantas kilat kawanan yang menunggu itu beratur sederet.
 
 
Manusia yang tadi berada hampir denganku dan terdengar dia berkata,”Mana spatula tu? Bekas tanah sekali ya”, Dengan tak semena-semena satu benda seperti besi datang mengorekku bersama tanah disekelilingku. Si Bacillus, Aspergillus hitam, Pseudomonas serta lain-lain rakan kami diangkat bersama dalam spatula itu. Aku tak sempat mengucapkan apa-apa kepada keluargaku dan jiran lain disitu. Kami dimasukkan dalam satu bekas yang membolehkan aku samar-samar melihat tempat tinggalku. Bekas itu kemudian ditutup dan terdengar seperti sesuatu digesek atas penutup itu. Terdengar mereka mengatakan agar tempat tinggalku ditulis atas penutup bekas itu. Bekas itu kemudiannya dimasukkan ke dalam beg manusia itu. Aku dan rakanku yang lain tercampak-campak dalam bekas itu semasa dibawa berjalan oleh kawanan manusia itu. Lama kami berjalan dan kadangkala berhenti beberapa kali. Banyak lagi bekas-bekas lain yang diletakkan bersama kami. Aku dengar ada antara mereka yang menangis tersedu-sedu. Aku juga rasa sedih. Apakan dayaku, aku tak dapat berbuat apa-apa.
 
Lama juga kami dibawa berjalan. Aku dengar mereka berkata. “Kita naik ke rintis ini, petang nanti baru kita pergi ke air terjun”. Kamipun dibawa menaiki bukit. Sesekali terdengar manusia-manusia itu menjerit, “pacat-pacat, cepatlah jalan”. Aku gelak mendengar jeritan manusia ini, pacat yang sekecil itu lebih mereka takuti padahal badan mereka lagi besar dari si Pacat itu. Sesekali ada juga si Pacat melalui rumahku dulu. Bila ku menegurnya mengeluh si Pacat katanya lapar dan badannya pun memang kurus melidi terliuk-liuk. Haiwan atau manusia dah lama tak lalu, katanya.       
 
Petang itu kamipun sampai ke satu tempat yang sangat asing bagiku. Bekasku yang telah mula panas dan berwap diletakkan di atas satu tempat yang rata. Manusia-manusia tadi sangat kecoh bunyinya dan bilangan manusia yang ada juga  semakin bertambah. Terdengar suara mengarahkan agar semua sampel yang diperolehi diproses petang itu juga. Apalah nasib aku agaknya?
 
Sekali lagi, benda disebut spatula itu datang lagi menggangguku. Aku dikuis bersama rakan-rakanku yang lain dan ditabur pada satu permukaan lembut berwarna merah jambu. Tempat baruku kemudiannya dililit dengan pita. Kudengar salah seorang manusia itu berkata,”Dah label piring Petri tu?” Oh, rupanya nama tempat baruku ini dipanggil piring Petri. Rumah baruku ini disusun bertingkat dengan rumah baru kawanku yang lain dan dimasukkan ke dalam satu bekas besar. Agak sesak nafasku setelah sekian lama.
  
Warna rumah baruku cantik sekali tapi tak seindah rumah lamaku. Aku rasa lapar dan cuba memasukkan hifa aku ke dalam benda lembut merah jambu itu. Ada bahan yang boleh aku gunakan sebagai makanan. Aku pun menjulurkan hifaku lagi ke sekelilingku. Ahh tempat ini melemaskan aku kerana ianya tertutup tanpa udara segar seperti rumah lamaku. Aku terpaksa berbuat sesuatu demi kemandirianku. Akupun mengubah sistemku kepada mod anaerobik.
Setelah sekian lama, penutup piring Petriku dibuka. Manusia tadipun berkata, ‘Ahh dah ada koloni dah. Apa kita nak buat ni?”. Merekapun membawa rumahku kepada seorang manusia lain yang dipanggil mereka doktor dan bertanya apa yang harus mereka lakukan. Doktor itupun berkata, “Ambil gambar piring tu dan ukur diameter koloni terhasil. Catitkan juga berapa koloni berbeza yang terhasil. Kalau boleh, pindahkan sedikit ke piring baru”. Maka kawanan manusia itupun sibuk mengambil gambarku serta kawan-kawanku yang lain. Aku cuba tersenyum kerana itu yang mereka selalu sebut bila mahu mengambil gambar. Tapi amat payah, kerana kesedihan masih melandaku kerana teringatkan tempat tinggal asalku di Bukit Fraser yang nyaman dan banyak makanan. Jiran tetanggaku juga semuanya baik-baik belaka dan sering bertukar makanan dengan aku.
 
 
Sumber yang ada dalam benda merah jambu inipun dah semakin berkurangan. Rakanku yang lainpun dan hampir hifanya dengan aku. Aku segera mengaktifkan agar anak-anak spora dihasilkan. Jikapun aku mati, anak-anak sporaku pasti akan meneruskan keturunan aku. Anak-anak spora hijauku punya lebih peluang untuk bertahan daripada aku.
 
Aku menegur Aspegillus niger yang menjadi jiranku. Diapun telah mula menghasilkan anak-anak spora hitamnya. Dia juga rasa sesak berada di rumah baru ini. Katanya si Bacillus dan si Pseudomonas cuba hidup tapi tak berjaya menghasilkan koloni. Ada benda dalam bahan merah jambu ini menghalangnya daripada menghasilkan protein. Si Bacillus sudah menghasilkan endospora supaya jika keadaan mengizinkan, ia akan bercambah semula.
 
Entah berapa lama aku berada di sini. Tetapi setiap hari, penutup piringku dibuka dan aku diukur. Pada satu hari sebahagian tubuhku dipotong dan aku dipindahkan ke piring baru dengan makanan berwarna putih jernih pula. Aku dengar mereka juga memindahkan sebahagian miseliumku ke piring dengan makanan merah jambu baru. Ahh dapatlah aku sumber makanan baru dan udara baru di sini. Tapi selepas itu aku dimasukkan ke tempat gelap dan panas itu sekali lagi. Tak apalah, aku masih tetap mahu hidup, lalu ku julurkan hifa ke dalam makanan baru ini. Agak lain rasanya, tapi aku boleh menggunakan bahan dalam makanan baru ini. Akupun terus memanjangkan hifaku dan tak berapa lama kemudian miseliumku telah berjaya memenuhi rumah baru ini. Tiada persaingan dengan kawan lain. Cuma aku dan miseliumku sahaja di sini. Hmm, aku harus menghasilkan anak spora hijauku sebagai persediaan hari mukaku. Apa agaknya kesudahanku ini?
 
 
 

 
Nazlina Ibrahim
Ahad 30 September 2012.
3.20 petang   

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Kucing

Catatan pertama

Lamanya tak menulis