Gegaran Bahasa Melayu Di PPBsBt

Salam Semua,
Minggu ini Awal Ogos 2010 timbul ketidak puasan hati beberapa pelajar mengenai pengajaran yang dilakukan dalam Bahasa Melayu dan dilaporkan dalam SAD. NC ambil berat hal ini. Berikut pandangan peribadi saya.

KENAPA SAYA INGIN TERUS MENGAJAR DALAM BAHASA MELAYU?
Pengajaran dalam Bahasa Inggeris (BI) di peringkat universiti tidak pernah diwartakan oleh Kementerian yang bertanggungjawab terhadap pengajian di peringkat universiti iaitu Kementerian Pengajian Tinggi (KPT). Tidak seperti PPSMI yang begitu berani dipertahankan sejak Tun Mahathir memutuskan ianya perlu dilaksanakan pada tahun 2003. Pihak KPT pernah membincangkannya diperingkat Naib-Naib Canselor dan keputusannya sebenarnya sangat samar. Hakikatnya ianya dipulangkan kepada universiti. Hakikat kedua, menteri tidak berani mengeluarkan arahan jelas sepertimana PPSMI. Di pihak Naib Canselor ketika itu dan pengurusan tertinggi ketika itu lebih memihak untuk menerima pengajaran BI sepertimana PPSMI bagi menjaga periuk nasi dan kedudukan masing-masing dan bersetuju dengan ahli politik memerintah. Kata menteri bak wahyu.
Pada peringkat atasan dan pembuat dasar UKM bersetuju untuk menjalankan pengajaran dalam Bahasa Inggeris secara berperingkat dengan pewarwaran dibuat melalui petikan minit mesyuarat senat. UKM sendiri sebenarnya tidak mengeluarkan pemakluman hitam putih seperti pekeliling atau memo tentang perlaksanaan pengajaran. Keputusan UKM untuk mengajar dalam Bahasa Inggeris mendapat tentangan diperingkat bawahan termasuklah oleh saya sendiri.
Namun begitu, berdasarkan petikan minit tersebut, maka bermulalah era pengajaran BI bagi Sains dan Teknologi (S & T) di tahun 1 sepenuhnya pada tahun 2004. Bagi Pusat Pengajian Biosains dan Bioteknologi (PPBsBt) pengajaran bagi kursus-kursus wajib pusat dalam setiap program diajar didalam BI. Semua kursus tahun 1 diajar dalam BI, begitu juga beberapa kursus di tahun 2 pada tahun berikutnya (Biokimia, Teknologi DNA rekombinan, Genetik Mikrob). Di tahun kedua dan ketiga, semua kursus wajib program diajar dalam BM. Tesis juga dikekalkan dalam Bahasa Melayu. Sejak itu, para pelajar menjalani pembelajaran dalam kedua-dua bahasa seperti mana yang berlaku sekarang ini. Tiada usaha untuk mengurang atau menambah apa yang diamalkan. Walau apapun, langkah yang dilakukan memang langkah yang sumbang dan menongkah arus. Antara kemahuan untuk terus memperjuangkan BM sebagai bahasa ilmu sepertimana yang diidamkan oleh pejuang UKM yang inginkan sebuah institusi pengajian tinggi yang menggunakan BM sebagai bahasa pengantar atau mengikut kemahuan Pak Menteri yang berkuasa.
Jika diteliti misi UKM, pengajaran BM sebagai bahasa pengantar merupakan salah satu misi utamanya. Maka jelas, pengajaran BI di UKM merupakan percanggahan terhadap misi ini. BM telah dengan jelas menjadi asas kepada pembentukan universiti ini seperti mana yang diakui dalam perlembagaan yang menjadikan BM sebagai bahasa rasmi Malaysia. Ini bermakna semua urusan rasmi kerajaan termasuklah pengajaran di sekolah harus dilakukan dalam Bahasa Melayu kecuali Bahasa Inggeris, Bahasa Cina, Bahasa Tamil atau Bahasa Arab. Ini adalah salah satu punca mengapa tiada siapa yang berani untuk mengeluarkan arahan jelas berkaitan pengajaran BI di UKM khususnya. Inilah alasan kukuh bagi saya mengapa pengajaran BM harus diteruskan di UKM.
Saban tahun NC akan mencanangkan bahawa UKM masih mengamalkan pengajaran dalam BM. Hakikat ini cuma menerima senyuman sinis daripada saya setiap kali disebut semasa majlis konvokesyen. Tahun ini saya tunggu tarikh 10 Ogos 2010 sama ada kedengaran lagi bait-bait ini.


Para pelajar yang disayangi,
Anda adalah mangsa keadaan politik negara ini sejak tahun 1998. Sudah 12 tahun ketidak tentuan dan kecelaruan berlaku oleh pembuat dasar dan akta negara. Kebanyakan dasar yang berlaku sejak 12 tahun ini sering kali tersasar daripada memberi manfaat kepada rakyat negara ini. Termasuklah pengajaran dalam BI ini. Kumpulan-kumpulan yang berani menentangnya mempunyai prinsip yang dipegang. Begitu juga saya. Prinsip saya adalah S & T perlu diajar dalam BM. Penggunaan BM sebagai bahasa ilmu tidak boleh dinafikan kerana jika dinafikan bermakna tamadun bangsa dan bahasa itu sendiri bakal hilang. UKM telah berjaya selama 40 tahun memartabatkan BM dipersada S & T. Khazanah ilmu dalam bentuk penulisan tesis, makalah, buku, laporan dan lain-lain tidak terhingga banyaknya. Inilah bukti ketamadunan itu. Jika ini tidak diteruskan oleh generasi sekarang ini, maka yakinlah bahawa ketamadunan Melayu bakal berakhir. Saya tidak mahu dipersalahkan oleh anak cucu saya kerana tidak melakukan sesuatu bagi menjaga ketamadunan ini.
Ya, memang sekarang ini UKM mengejar KPI, tempat teratas di Times Higher Education (THES) dan lain-lain bentuk penarafan. Penarafan ini hanya datang melalui kerja keras dan yang paling penting keilmuan itu sendiri. Ilmu akan cuma diperolehi bila kita faham akan dasar ilmu itu sendiri. Bagaimana nak memahaminya? Dalam bahasa yang paling dekat dengan orang itu. Bahasa ibundanya, bahasa rumahnya, bahasa pertamanya. Rakan-rakan berbangsa lain akan berkata, BM bukan bahasa kami. Tapi kitakan rakyat Satu Malaysia! (macamlah saya seronok sangat dengan slogan ini). Bahasa Melayu selain daripada bahasa ilmu, juga merupakan bahasa perpaduan bangsa Malaysia. Telah dipersetujui semasa Tanah Melayu dibentuk, bahasa rasmi bahasa Melayu. Semua mahukan keamanan maka berbicara dalam satu bahasa adalah caranya. Tapi saya tak pernah menidakkan untuk pelajar berbicara dalam bahasa Cina atau India jika mereka berbincang semasa kelas atau amali. Jika ini memudahkan mereka memahami sesuatu hal dalam bahasa mereka, nah silakan.
Ini terbukti dimana-mana sahaja, Jepun dengan bahasa Jepunnya- ia maju tanpa perlu mempedulikan hebatnya penguasaan BInya. Begitu juga Perancis dengan bahasanya. Memanglah takkan kita nak orang Inggeris bercakap Melayu supaya hebat, mestilah dia akan guna bahasa nenek moyangnya. Pengalaman saya di Brazil yang menggunakan bahasa penjajah negaranya iaitu Portugis, orang Brazil memang bersatu walaupun berbeza kaum di sana. Mereka tak pulak asyik mengatakan saling baiknya mereka antara kaum seperti yang selalu dicanangkan di Malaysia. Bila berjumpa antara mereka asyik berpeluk sahaja kerja mereka yang menggambarkan kemesraan dan bahasa mereka satu-Portugis. Mereka hebat di segi sains. Saya bertemu dengan seorang nenek yang berusia 90 tahun yang merupakan jurutera kimia dizaman mudanya. Nenek di Malaysia kebanyakannya suri rumah tangga sahaja. Mereka juga sudah ada bioetanol sendiri.
Portugis menjajah Brazil sebelum mereka menjajah Melaka dan berjaya menukar bahasa ibunda setempat ke bahasa Portugis. Orang Melayu pada tahun 1511 sehinggalah kini cuma mengambil beberapa perkataan bahasa Portugis untuk digunakan. Contohnya keju, mentega dan almari. Kedatangan Portugis membawa bahan-bahan ini ke Tanah Melayu. Melayu ketika itu masih kekal dengan bahasa Melayu begitu juga selepas Belanda dan Inggeris datang. Bermakna nenek moyang kita berjaya mempertahankan Bahasa Melayu daripada dinodai oleh 3 negara penjajah selama hampir 450 tahun. Malang sekali selepas hampir 50 tahun Malaysia merdeka daripada Inggeris, kita berhadapan dengan pengkhianat bahasa Melayu yang ingin ianya diketepikan melalui PPSMI. Langkahnya telah berjaya kerana ada antara anda bersetuju untuk terus belajar dalam Bahasa Inggeris dan menafikan keupayaan BM sebagai bahasa S & T. Fikirkanlah apa yang anda ingin wariskan kepada generasi akan datang.
Saya sama sekali bukannya tidak mahu anda maju dalam BI. Jangan salahkan saya yang ingin anda guna BM kerana saya mahu anda mahir kedua-dua bahasa. Anda mungkin satu hari nanti bakal jadi Menteri Kesihatan menggantikan Datuk Liow (?) Tiong Lai yang merupakan graduan UKM. Lihat dia berbahasa Melayu, tidak janggal. Atau mungkin sekadar jadi pembantu ahli politik seperti Teoh Beng Hock (harap anda tak mati ngeri sepertinya) yang juga graduan UKM. Gunakan kelebihan berbahasa Melayu sebagai aset anda dan bukannya kekurangan anda. Ingat universiti lain tidak menawarkan BM kepada pelajarnya. Anda juga boleh jadi penterjemah atau wartawan.
Jangan salahkan saya atau PPBsBt jika anda tidak fasih berbahasa Inggeris. Berapa tahun anda telah belajar BI? Bermula daripada tadika sampai sekarang: lebih kurang (2+6+5+2+2 (U) = 17 tahun. Kenapa tak pandai-pandai lagi???? Bermaksud UKM tidak patut disalahkan semata-mata, anda perlu melihat diri anda dan mungkin juga boleh salahkan sistem pendidikan disekolah anda dulu. Bagi saya, saya ingin anda membaca Coico, Brock dan Todar untuk memahami kuliah. Sudahkah anda berbuat demikian?
Berfikirlah secara rasional. Jika ada majikan yang tidak mahukan siswazah UKM, kaji mengapa ini berlaku dan persiapkan diri anda dengan kemahiran tambahan. Bagi saya, tidak mengambil pelajar UKM adalah satu kerugian besar majikan tersebut. Siswazah UKM khususnya mikrobiologi dilengkapi pakej yang sempurna kerana pensyarah-pensyarahnya juga mengutamakan kesempurnaan (kenalah puji diri sendiri juga). Pengalaman dan maklumbalas daripada majikan menyifatkan mutu pelajar UKM adalah lebih baik daripada universiti lain. Apa yang penting anda harus manfaatkan sebaik mungkin ilmu yang diperolehi di UKM walau dalam apa bahasapun. Yang penting anda fahami ia dan gunakannya untuk kesejahteraan hidup anda dan makhluk lain disekeliling anda. Saya hanya mengharapkan anda berusaha dengan gigih. Kejayaan yang datang bersama usaha gigih akan memberikan kepuasan dalam hidup dan semanis-manis kenangan dimasa hadapan.
Nazlina Ibrahim
Bangi Perdana
11.45 malam 21 Syaaban 1431/2 Ogos 2010.

Ulasan

  1. assalamualaikum dr...

    saya sokong pandangan dr....

    ini semua alasan untuk menidakkan hak bahasa melayu itu sendiri...

    saya amat terhina apabila mendapat tahu mengenai berita ini...

    insan yang bertanggungjawab itu seharusnya malu dengan perbuatan yang telah dilakukan..

    walhal bahasa melayu adalah bahasa ibundanya sendiri...

    bahasa melayu bukanlah "bahasa kedai kopi"..
    bukan juga "bahasa tepi jalan"...

    bahasa melayu adalah bahasa "Bangsa Malaysia"..

    saya yakin sekiranya hidup lagi Mat Kilau, Tok Janggut, Dato Bahaman, Dol Said dll...

    sudah pasti mereka akan menghumban insan yang bertanggungjawab ini kedalam longkang...


    jangan jadikan bahasa sebagai satu punca masalah....

    kita sendiri yang menjadikan ia satu masalah...

    ini pemikiran mahasiswa kelas kelima...
    bukan yang pertama...

    mahasiswa yang cemerlang...tidak menjadikan sesuatu masalah itu sebagai penghalang...

    sekiranya belajar dalam bahasa melayu ini menjadikan seseorang itu tiada masa depan...

    maka tidak bergunalah tokoh2 yang selama ini berjasa kepada negara kita ini...yang mana mereka ini belajar dalam kurikulum yang berasaskan bahasa melayu...

    jadi???mereka ini tidak berguna??

    TIDAK!!!!

    kebanyakan pensyarah2 di UKM....

    bermula dengan kurikulum berteraskan bahasa melayu...

    sehingga sekarang...

    mereka berjaya...

    tidak bergunakah mereka??

    gelapkah masa depan mereka??

    TIDAK!!!

    kita harus ingat...bahasa inggeris adalah bahasa kedua...bukan yang pertama....

    ~~sekian~~

    WASALAM..

    BalasPadam
  2. menarik ulasan Dr...lagi semangat nak belajar.

    BalasPadam

Catat Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Kucing

Lamanya tak menulis